June 11, 2008

Cornetto Love Sparks

BUAT julung kalinya jenama aiskrim terkenal, Wall's Cornetto akan menghimpunkan enam artis popular pada sebuah konsert istimewa bertujuan untuk meraikan cinta, muzik serta persahabatan.

Konsert Cornetto Love Sparks-Mulanya Di Sini yang bakal diadakan di Padang Merbuk Kuala Lumpur pada 28 Jun depan bermula jam 7.30 malam itu akan membariskan penyanyi-penyanyi terkenal seperti Mawi, Mila, Estranged, juara AF6 Stacy serta dua duta jenama Cornetto, Dafi dan Gita Gutawa.

"Kami benar-benar gembira kerana dapat menghimpunkan artis-artis yang diminati ramai ini untuk satu persembahan yang sememangnya berteraskan cinta serta persahabatan.

"Kami menggunakan konsert ini sebagai platform bagi membentuk persekitaran yang positif dan mampu memupuk hubungan persahabatan.

"Dengan keluasan lokasi Padang Merbuk itu, kami jangkakan kehadiran penonton nanti mampu mencecah kira-kira 10,000 orang," kata Pengarah Urusan Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Noel Lorenzana pada sidang media konsert tersebut di Planet Hollywood, semalam.


Dafi, Mila, Stacy dan Mawi antara barisan artis yang akan menjayakan Konsert Cornetto Love Sparks
Dalam pada itu, artis-artis yang terbabit juga turut melahirkan rasa teruja mereka untuk beraksi di hadapan penonton sempena konsert tersebut.

"Konsert ini agak unik bagi saya kerana ia lebih untuk mempromosikan perasaan cinta dan persahabatan. Saya juga excited kerana bakal beraksi di konsert ini atas nama sebagai duta Wall's Cornetto.

"Sudah tentu persembahan saya nanti akan turut diselitkan dengan lagu duet bersama Gita Gutawa, Dua Hati Menjadi Satu yang merupakan lagu tema untuk produk ini," kata Dafi.

Dafi dan artis cilik dari Indonesia, Gita telah dilantik sebagai duta jenama tersebut sempena pelancaran kempen Cornetto Love Sparks pada Februari lalu.

Manakala bagi gadis yang baru dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) baru-baru ini, Stacy, dia merasakan konsert sulungnya itu mampu memberikan pengalaman baru terhadap dirinya.

"Saya belum pernah beraksi di mana-mana konsert, jadi sudah tentu perasaan gembira dan gementar itu ada. Apatah lagi dapat pula bergandingan dengan artis-artis yang lebih senior daripada saya sepert Mawi.


Barisan artis terlibat janjikan persembahan menarik untuk penonton yang hadir pada hari itu


"Mungkin inilah masa yang sesuai untuk saya cuba kutip tips berguna daripada mereka untuk lebih berjaya di dalam karier seni ini.

"Dari segi persembahan, saya belum buat persediaan lagi. Tetapi kemungkinan saya bersama Mila akan berduet untuk sebuah lagu nanti," kata Stacy dalam nada ceria.

Tiket untuk menyaksikan konsert tersebut boleh didapati menerusi peraduan SMS yang dianjurkan oleh pihak Wall's.

Orang ramai hanya perlu membeli aiskrim Wall's Cornetto dan menghantar kod unik yang terdapat pada penutup kon melalui SMS ke 36323.

Peraduan tersebut akan berakhir pada 25 Jun ini. Untuk maklumat lanjut mengenai konsert, sila layari lama web www.cornetto.com.my

No comments: